Persepsi Tenaga Akademik di Institusi Pengajian Tinggi terhadap Kemampuan Bahasa Melayu Berfungsi sebagai Bahasa Pengantar Utama Ilmu

Hamdan Azmi Abd. Aziz, Noor Rohana Mansor

Abstract


Kajian ini bertujuan meninjau persepsi tenaga akademik terhadap kemampuan Bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa pengantar utama ilmu dalam bidang Sains dan Teknologi di Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Selain itu, fokus kajian turut merangkumi analisis terhadap penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam proses pengajaran dan pembelajaran di IPT dalam bidang tersebut. Secara keseluruhannya, kajian ini berlandaskan kepada perubahan dasar bahasa di Institusi Pengajian Tinggi Awam pada tahun 1993 yang memberi fokus terhadap penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama khususnya dalam bidang Sains dan Teknologi. Dalam pada itu, kelonggaran dalam Akta Pendidikan 1996 kepada Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dalam isu penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar turut memberi kesan terhadap fungsi dan kedudukan Bahasa Melayu. Perubahan dasar kerajaan ini dibuat dengan alasan penggunaan bahasa Inggeris akan dapat mempercepatkan kemajuan bidang Sains dan Teknologi negara. Kajian ini menggunakan kaedah soal selidik. Hasil kajian mendapati tenaga akademik di IPT yakin dengan kemampuan Bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa pengantar utama ilmu dalam bidang Sains dan Teknologi di IPT.  Walau bagaimanapun, keyakinan ini dapat diterjemahkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini kerana dasar penggunaan bahasa pengantar di peringkat pengajian tinggi lebih memberi fokus terhadap penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Implikasi kajian ini memperlihatkan Bahasa Melayu mampu dijadikan bahasa pengantar utama ilmu di IPT berdasarkan kepada keyakinan yang tinggi oleh tenaga akademik di negara ini.  Dengan kata lain, Akta Pendidikan 1996 dapat dikuatkuasakan dengan berkesan sekiranya pihak kerajaan dan pengurusan tertinggi di setiap IPT memberi fokus terhadap usaha memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama ilmu.

Kata kunci: Bahasa Melayu, institusi pengajian tinggi, persepsi tenaga akademik, pengajaran dan pembelajaran, bahasa pengantar utama


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.