Penggunaan Bahasa Ibunda dalam Pengajaran Bahasa Melayu dalam Kalangan Murid Peribumi di Sekolah Pedalaman Sarawak

Ilangko Subramaniam, Noorulafiza Abdul Muthalib, Siti Nor Hamahiza Zainal

Abstract


Usaha penerapan dan penghayatan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua dalam kalangan murid sekolah rendah berbangsa Iban merupakan satu cabaran kepada para pendidik di kawasan pendalaman Sarawak. Namun, penggunaan bahasa ibunda dikenal pasti sebagai satu pendekatan yang berkesan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) Bahasa Melayu. Kajian ini adalah tentang penggunaan Bahasa Iban dalam aktiviti P&P mata pelajaran Bahasa Melayu dalam kalangan murid sekolah rendah berbangsa Iban. Kajian kes ini telah dijalankan di dua buah sekolah rendah, di kawasan pedalaman negeri Sarawak. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran dijalankan dengan menggunakan bahasa Iban sebagai wahana komunikasi untuk memastikan murid dapat menguasai objektif mata pelajaran Bahasa Melayu. Kaedah kuasi eksperimental dijalankan untuk melihat tahap pemahaman murid apabila bahasa pertama digunakan dalam aktiviti pengajaran bahasa kedua. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa murid Tahun 1 dapat mencapai objektif mata pelajaran Bahasa Melayu iaitu dapat memahami petikan dengan baik dan dapat menjawab soalan pemahaman dengan lebih tepat apabila bahasa pertama digunakan untuk mengukuhkan pemahaman murid. Perkongsian hasil kajian ini penting khususnya bagi guru-guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu khususnya di sekolah-sekolah rendah yang majoriti muridnya terdiri daripada kaum peribumi kerana murid juga lebih reseptif terhadap kaedah pengajaran ini.

Kata kunci: Penguasaan, Bahasa Melayu, Bahasa Iban, murid sekolah rendah, sekolah pedalaman, murid peribumi


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.