Kemahiran Kehidupan untuk Murid Berisiko Tercicir

Azlin Norhaini Mansor, Suria Huszaini, Ummi Salamah Samadi, Intan Farahana Kamsin

Abstract


Kemahiran kehidupan ialah set kemahiran yang dapat membantu murid sekolah, khususnya yang berisiko tercicir daripada gagal mencapai potensi sebenar mereka. Sehubungan itu, tujuan kajian ini ialah untuk mengenal pasti komponen kemahiran kehidupan yang diperlukan oleh murid berisiko serta tindakan pihak sekolah dalam membantu kumpulan murid ini. Kajian tinjauan ini melibatkan 223 murid Tingkatan 1 dan 2 di daerah Hulu Langat, Selangor, yang dikenal pasti berisiko tercicir. Instrumen yang digunakan dalam tinjauan telah dibina mengikut Model Sasaran Kemahiran Kehidupan (4H) oleh Hendricks (1998). Tiga guru kaunselor turut ditemu bual bagi mengenal pasti tindakan pihak sekolah dalam membantu murid-murid berkenaan. Kajian menunjukkan bahawa majoriti murid berisiko amat memerlukan kemahiran kehidupan dalam aspek (i) belajar, (ii) mengamalkan gaya hidup sihat, (iii) menjaga keselamatan diri, (iv) bertanggungjawab terhadap keluarga, (v) mengurus disiplin diri, (vi) membina hubungan sesama rakan, (vii) berkomunikasi dengan berkesan, dan (viii) menetapkan matlamat hidup. Dapatan ini amat signifikan kerana bertentangan dengan pandangan semasa yang menggambarkan bahawa murid berisiko adalah golongan murid yang bermasalah dan tidak berrminat dalam pelajaran; Walhal mereka sebenarnya maklum kelemahan diri mereka dan amat memerlukan sokongan pelbagai pihak bagi membolehkan mereka merealisasikan potensi yang ada dalam diri mereka. Maklumat daripada kajian boleh dijadikan input bagi membangunkan Modul Kemahiran Kehidupan untuk membantu pihak sekolah melaksanakan program intervensi bagi menerapkan kemahiran kehidupan yang diperlukan oleh murid berisiko tercicir. 


Keywords


Kemahiran Kehidupan; Pelajar Berisiko; Keciciran; Target Model Life-skills (4H)

Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.