MENGENALPASTI TAHAP KESEJAHTERAAN SENI BINA WARISAN MELAYU MELALUI KONSEP ISLAM

M.S. Surat, M.A. Baharum, I.M.S Usman, A.R. Musa, N.M Tawil

Abstract


Islam merupakan sebuah agama yang sejahtera. Kesejahteraan dalam seni bina bermaksud bagaimana sesuatu bangunan atau kediaman yang dihasilkan mampu memberi keselesaan, ketenteraman dan memelihara penghuninya sebagai tempat berlindung. Ini adalah kerana memiliki kediaman yang selesa merupakan sebahagian daripada hak asasi manusia kerana ianya merupakan keperluan asas bagi kita. Rumah sebagai tempat menjalani kehidupan seharian seharusnya dirancang dengan memerhatikan keseimbangan di antara fizikal binaan, alam sekitar dan manusia sebagai penghuninya bagi mendapat kesejahteraan hidup. Tetapi malangnya, kediaman moden orang Melayu pada masa kini sudah mengabaikan banyak faktor kesejahteraan di dalam rekabentuknya sehingga mengundang kesusahan dan ketidakselesaan terhadap penghuninya. Apa yang kita dapati kini, rumah-rumah moden Melayu yang dibina telah mengabaikan faktor iklim, keselamatan, budaya, agama dan lain-lain. Maka, kesannya kediaman tersebut bukan sahaja tidak selesa, malah tidak kondusif untuk diduduki. Menjawab mengenai semua permasalahan ke atas rumah moden kini, seni bina warisan Melayu kita adalah contoh terbaik bagaimana tukang kayu dahulu memahami kehendak alam sekitar dalam mereka bentuk rumah. Budaya masyarakat Melayu ini telah tersusun cantik selari dengan konsep Islam dan sunnah Nabi terutama di dalam bidang seni bina. Secara keseluruhannya, seni bina warisan merupakan hak milik orang-orang Melayu di mana ia jelas mengikut konsep Islam bagi mencapai kesejahteraan. Jesteru, penulisan ini mengkaji bagaimana konsep seni bina warisan tersebut dapat dilaksanakan ke atas rumah-rumah moden masa kini melalui pendekatan rumah warisan menggalakkan pengaliran udara, penggunaan pencahayaan semulajadi, rekabentuk jimat tenaga, penggunaan bahan yang mesra alam, penggunaan ruang serta mengekalkan adat dan budaya di mana boleh kita laksanakan ke atas rumah-rumah moden bagi mencapai tahap kediaman yang sejahtera. Kajian dianalisa dengan membuat perbandingan di antara seni bina moden Melayu dan seni bina warisan Melayu agar dapat dihubungkait dengan konsep kesejahteraan di dalam Islam. Hasil kajian dikembangkan bagi menuju perjalanan ke arah penghasilan identiti seni bina warisan Melayu yang berkualiti dan seterusnya mencadangkan pendekatan atau panduan dalam rekabentuk rumah kediaman agar selesa dan sejahtera untuk dihuni oleh manusia khususnya masyarakat di Malaysia.


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.