Introspeksi Puisi 77 Tuju: Siri Ingatan Kepada Kawan

(Introspection of Poem 77 Tuju: Reminders' Series to Friends)

  • Qurratul ‘Ain Abdul Rahim UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
  • Mawar Safei UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
Keywords: Pengkaedahan Melayu, introspeksi, keagamaan, kemasyarakatan, seni

Abstract

Perbincangan ini meninjau kumpulan puisi 77 Tuju: Siri Ingatan kepada Kawan oleh Zaen Kasturi (2014, Institut Terjemahan & Buku Malaysia). Penelitian ini memanfaatkan beberapa tanggapan terhadap “introspeksi” dalam hubungannya dengan pemikiran Melayu seperti yang diajukan Zaen Kasturi menerusi kumpulan puisinya ini. “Introspeksi” atau “muhasabah diri” menjadi lorong untuk pembaca melakukan proses merenung diri atau pencerminan diri. Antara tanggapan tentang “introspeksi” itu diteliti dengan menggembleng satu kerangka kajian dalam kesusasteraan Melayu yang dijana Hashim Awang iaitu Pengkaedahan Melayu. Hashim Awang sangat mempertimbangkan secara saksama dalam membentangkan idealisme Pengkaedahan Melayu khasnya di bawah Pengkaedahan Keagamaan. Penemuan penelitian ini adalah terhadap kecenderungan Zaen Kasturi mengungkap “introspeksi” menerusi puisi-puisinya, menerusi tiga jalur pendekatan. Pertama, dalam konteks dakwah, Zaen Kasturi jelas banyak membentangkan figura Nabi Muhammad. Sosok Rasulullah ini dihadirkan sebagai contoh dan teladan unggul untuk khalayak Islam melakukan introspeksi menerusi sifat-sifat utama baginda iaitu seperti siddiq (benar), amanah (dipercayai), tabligh (menyampaikan) dan fatonah (bijaksana). Kedua, dalam konteks kemasyarakatan, Zaen Kasturi sekian bahagian dalam puisi-puisinya mengangkat pemerihalan “kawan” yang lebih komunikatif dalam urusan introspeksi diri dan “kawan” sebahagian daripada komponen masyarakat. Ketiga, dalam konteks seni, jelas penggemblengan kebahasaan Zaen Kasturi terhadap diksi dan gaya bahasa metafora untuk memperlihatkan elemen introspeksi menerusi pemilihan kosa kata dan kiasan. Keseluruhannya, menerusi lensa dakwah, kemasyarakatan dan seni yang dipayungi Pengkaedahan Keagamaan, Zaen Kasturi antaranya banyak mengajukan pemerihalan introspeksi. Ia menarik apabila dikaitkan dengan kedudukan sudut pandang kumpulan ini yang menumpu terhadap frasa “ingatan kepada kawan”, iaitu satu anjuran untuk tujuan bermuhasabah.

Kata kunci: Pengkaedahan Melayu, introspeksi, keagamaan, kemasyarakatan, seni

 

 

 

Published
2019-10-14
How to Cite
Abdul Rahim, Q. ‘Ain, & Safei, M. (2019, October 14). Introspeksi Puisi 77 Tuju: Siri Ingatan Kepada Kawan. Jurnal Wacana Sarjana, 2(4), 1 - 15. Retrieved from https://spaj.ukm.my/jws/index.php/jws/article/view/194