Permasalahan Kemahiran Membaca dan Menulis Bahasa Melayu Murid-murid Sekolah Rendah di Luar Bandar

Abdul Rasid Jamian

Abstract


Kemahiran membaca dan menulis merupakan kemahiran asas Bahasa Melayu untuk murid-murid sekolah rendah. Hal ini amat penting untuk mereka mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada masa hadapan.  Oleh hal yang demikian, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti permasalahan tentang kemahiran membaca dan menulis Bahasa Melayu dalam kalangan murid-murid sekolah rendah di luar bandar. Responden kajian terdiri daripada 161 murid sekolah rendah tahun 4 dan 5 di luar bandar di Negeri Sembilan, Pahang dan Sarawak. Kajian ini adalah berbentuk tinjauan deskriptif dengan menggunakan borang soal selidik yang merangkumi maklumat latar belakang serta masalah yang murid-murid alami dalam kemahiran membaca dan menulis. Sehubungan itu, dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat masalah dalam diri murid untuk menguasai kemahiran membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu, antaranya pengetahuan asas membaca dan menulis, persekitaran dan kaedah pengajaran guru. Dapatan kajian dalam masalah kemahiran membaca menunjukkan bahawa kegagalan murid-murid memahami kandungan maklumat dalam teks yang dibaca (min = 3.40; sp = .71) dan tidak memahami maksud ayat yang dibaca (min = 3.24; sp = .60). Manakala dapatan kajian tentang masalah kemahiran menulis menunjukkan bahawa murid-murid tidak dapat membezakan huruf besar atau huruf kecil melalui pengecaman (min = 3.62; sp = .62), di samping itu, mengenali tanda baca (min = 3.42; sp = .80). Kesimpulannya, bagi mengatasi masalah ini, pendidikan pemulihan merupakan satu wadah yang dapat membantu meningkatkan potensi murid-murid yang mengalami masalah dalam kemahiran membaca dan menulis. Program pemulihan peringkat awal akan memberi kesan yang lebih efektif dalam usaha memperkasakan pendidikan di negara kita.

Kata kunci: Pembelajaran Bahasa Melayu; kemahiran membaca; kemahiran menulis; murid-murid sekolah; sekolah rendah luar bandar


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.