Sumbangan Elemen Metakognitif terhadap Pencapaian Penulisan Karangan

Shahlan Surat, Shalinawati Ramli, Saemah Rahman

Abstract


Tinjauan literatur dan laporan kajian lepas menyokong kepentingan peranan meta-kognitif dalam pembelajaran pelajar. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti sumbangan elemen meta-kognitif terhadap pencapaian pelajar dalam penulisan karangan. Reka bentuk eksperimen kuasi kumpulan kawalan tidak serupa digunakan kerana kajian ini menggunakan kelas-kelas sedia ada. Sampel kajian adalah seramai 136 orang pelajar dari tiga buah sekolah di Malaysia (satu kumpulan rawatan dan satu kumpulan kawalan dari setiap sekolah). Jumlah pelajar dalam kumpulan eksperimen ialah 65 orang dan jumlah pelajar dalam kumpulan kawalan ialah 71 orang. Pelajar dalam kumpulan eksperimen diberi pendedahan strategi 4-META selama 12 minggu. Manakala bagi kumpulan kawalan, proses pengajaran dijalankan menggunakan kaedah konvensional. Guru yang mengajar kumpulan eksperimen dilatih menggunakan strategi 4META oleh pengkaji. Sebelum intervensi dijalankan, kedua-dua kumpulan diberikan ujian pra bagi mengukur pencapaian awal dalam penulisan. Selain itu soal selidik Indikator Keberkesanan Proses Pengajaran dan Pembelajaran (InKePPP) digunakan untuk mengukur kesedaran meta-kognitif, meta-tumpuan, meta-pemahaman dan refleksi meta-kognitif. Selepas intervensi dijalankan, ujian pos ditadbirkan kepada semua kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan. Data dianalisis menggunakan statistik deskriptif dan inferens berdasarkan objektif kajian. Analisis regresi berganda stepwise mendapati dua pemboleh ubah bebas memberi sumbangan terhadap variasi dalam skor penulisan karangan dalam kalangan pelajar. Pemboleh ubah bebas tersebut ialah kesedaran meta-kognitif dan refleksi meta-kognitif. Dapatan kajian menyokong kepentingan kesedaran meta-kognisi dan refleksi meta-kognitif untuk membantu meningkatkan pencapaian pelajar dalam penulisan.

Kata kunci: Strategi meta-kognitif, kesedaran meta-kognitif, meta-perhatian, meta-pemahaman, refleksi meta-kognitif, penulisan karangan


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.