Bangunan Beridentiti Malaysia: Kelebihan Dari Sudut Faedah, Ekonomi, Teknologi Hijau & Penggunaan Bahan Binaan Tempatan

Mastor Surat, M.F.I Mohd-Nor, A.H Ismail, Nor Haslina Ja’afar

Abstract


Permasalahan dalam pentafsiran identiti senibina Malaysia merupakan perkara yang masih
kabur walaupun ianya telah lama diwacanakan. Pencarian kepada gagasan identiti senibina
tersebut berlaku hampir kepada semua negara-negara yang baru merdeka setelah penjajah
memporak perandakan bentuk pembangunan di negara berkenaan termasuklah Malaysia.
Sebelum zaman penjajahan Barat, orang Melayu telah berjaya membangunkan senibina yang
cukup bitara. Setiap daerah mempunyai gaya, perwatakan dan peranan senibina tersendiri
yang menjadi identiti kepada kedaerahan tersebut sehinggakan masyarakat pendatang
termasuk penjajah Inggeris diperingkat awal telah membangunkan senibina mengikuti rentak
perwatakan senibina dimana binaan tersebut dibangunkan. Kecelaruan senibina di negara kita
sebenarnya adalah rentetan dari kecelaruan dalam pendekatan senibina di Eropah yang telah
dibawa oleh penjajah Inggeris semenjak di akhir kurun ke 19 hingga diawal kurun ke 20. Dalam
tempoh tersebut, banyak negara-negara yang baru merdeka daripada penjajahan Roman telah
cuba untuk mengembalikan identiti senibina mereka melalui pendekatan Neo-Classicism,
Gothic Revivalism dan Eclecticism. Gerakan Modernism dan diikuti dengan pemikiran Post-
Modernism telah membantu masyarakat Eropah dalam membangunkan gagasan senibina di
tempat mereka sehingga terbawa-bawa ke daerah tanah jajahan mereka termasuklah negara
kita yang turut menggunakan pendekatan yang sama. Gagasan identiti Malaysia dalam
senibina telah mula diwacanakan di Malaysia sebaik sahaja kita bebas dari cengkaman
penjajah. Pendekatan yang paling mudah dan umum diketika itu ialah dengan mengembalikan
semula gaya dan perwatakan senibina Rumah Warisan Melayu atau gabungan dari pelbagai
perwatakan senibina dari Timur Tengah, Timur Jauh, Asia Tengah atau India Utara. Walaupun
telah pelbagai percubaan yang telah dilakukan, namun sehingga kini kita masih mencari-cari
jawapannya kerana tiada siapa yang sanggup tampil untuk memberikan susunan (schema)
jawapannya. Untuk itu, dalam usaha pencarian ke arah gagasan senibina identiti Malaysia,
pemerhatian dan pencerakinan dasar pemikiran senibina warisan Melayu boleh dijadikan
sebagai pilihan dan diharap dapat dijadikan panduan dalam merekabentuk bangunan masakini
bagi mendapatkangaya, perwatakan dan peranannya yang dapat menzahirkan identiti senibina
Malaysia, disamping keselesaan hawa serta berupaya menangani pelbagai permasalahan
kesan dari iklim dan persekitaran di Malaysia. Pembangunan senibina diambang abad ke 21
telah memperlihatkan kepelbagaian pendekatan yang semakin menjurus kepada gagasan
senibina identiti Malaysia terutama yang menggunakan pendekatan ‘hijau’ atau lestari. Selain
membincangkan senario wacana dan pendekatan senibina yang telah dilakukan di Malaysia,
tulisan ini juga bertujuan untuk membincangkan tentang faedah yang bakal diperolehi dari
sudut ekonomi, teknologi hijau dan penggunaan bahan tempatan jika menggunakan
pendekatan senibina warisan Melayu dalam pencarian ke arah identiti senibina yang
dihasratkan melalui pendekatan senibina masakini.

Refbacks

  • There are currently no refbacks.