PUSAT LATIHAN NBK BERSEPADU: KAJIAN REKABENTUK BANGUNAN LATIHAN DEKONTAMINASI NBK ATM

Masriah Johari

Abstract


Sejarah telah membuktikan bahawa peperangan telah memberi kesan kepada kehidupan manusia sejak dari tamadun awal lagi. Peperangan biasanya berlaku dengan tujuan untuk menakluk sesebuah negara bagi dijadikan tanah jajahan, meluaskan kuasa ekonomi, menunjukkan keupayaan kekuatan negara dan sebagainya. Dalam era “Network Centric Warfare (NCW)” , kesan yang dibawa oleh peperangan telah menjejaskan kehidupan manusia tidak mengira sama ada untuk kesan jangka pendek ataupun kesan jangka panjang. Satu lagi kesan yang besar adalah dari peperangan nuklear, biologi dan kimia (NBK). Penggunaan bahan-bahan ini telah diamalkan secara meluas sejak Perang Dunia II. Serangan NBK biasanya akan memberi kesan untuk tempoh yang lebih lama. Senjata NBK yang dahulunya hanya dimiliki oleh kuasa-kuasa besar kini juga mampu dimiliki oleh Negara Dunia Ketiga termasuk pengganas. Senjata NBK dilihat lebih merbahaya berbanding penggunaan senjata konvensional. Senjata NBK mampu mengakibatkan kemusnahan pada skala yang lebih besar dari segi korban nyawa, kemusnahan harta benda dan yang paling teruk kesan psikologi jangka panjang ke atas mangsanya. Lanjutan daripada senario ini wujud keperluan bagi melengkapkan pihak tentera mahupun first responders dengan keupayaan untuk menghadapi ancaman global yang baru ini. Langkah awal perlu diambil untuk melengkapkan ilmu dan kemahiran dalam mempertahankan diri daripada ancaman penggunaan senjata berunsurkan NBK. Pada masa kini, kesiapsiagaan kepada NBK adalah menjadi agenda penting bagi Malaysia. Justeru itu, bagi memperlengkapkan diri serta siap sedia menghadapi segala kemungkinan serangan NBK, setiap anggota perlulah menjalani dan memahirkan diri dengan pengetahuan asas pertahanan NBK. Sebuah Pusat Latihan NBK Bersepadu yang melibatkan agensi-agensi keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Bomba, Jabatan Pertahanan Awam dan sebagainya perlu diwujudkan lengkap dengan  kemudahan-kemudahan latihan yang terkini serta dapat berfungsi dengan efisien. Tanggungjawab masyarakat awam juga tidak terkecuali dalam menangani ancaman berkaitan NBK. Mereka juga perlu diberi pendedahan yang sewajarnya dengan memperkenalkan kursus NBK terutamanya proses dekontaminasi NBK di peringkat staf kerajaan, peserta PLKN, pekerja-pekerja di sektor industri kimia dan sebagainya.


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.