Keberkesanan Cerpen dalam Mempertingkat Prestasi Penulisan Karangan Bahasa Melayu dalam Kalangan Murid

Abdul Rasid Jamian, Shamsudin Othman, Norzila Md. Yusof

Abstract


Kemahiran menulis merupakan kemahiran yang paling sukar diajarkan dan dikuasai oleh seseorang murid. Oleh hal yang demikian, kajian ini adalah untuk menganalisis keberkesanan penggunaan teks KOMSAS terhadap  prestasi penulisan karangan 64 orang murid tingkatan dua berpencapaian sederhana. Kajian berbentuk eksperimental ini dijalankan untuk membandingkan keberkesanan menggunakan teks KOMSAS dengan kaedah pengajaran konvensional dalam pengajaran penulisan karangan. Kedua-dua kumpulan telah diberikan dua ujian, iaitu praujian dan pascaujian untuk membandingkan prestasi penulisan karangan dalam aspek karangan keseluruhan, aspek pengembangan isi karangan dan aspek penggunaan jenis ayat. Dapatan kajian dalam praujian menunjukkan bahawa bagi aspek karangan keseluruhan, skor min murid kumpulan eksperimen ialah 53.87 (SP = 9.40) dan skor min murid kumpulan kawalan ialah 48.65 (SP = 7.40). Ujian-t pula menunjukkan bahawa terdapat perbezaan skor min yang  signifikan, iaitu  t(31) = 2.840, p<.05. Manakala pada pascaujian pula, skor min murid kumpulan eksperimen mencatatkan 60.2 (SP = 10.44), dan murid kumpulan kawalan mencatatkan skor min 51.28 (SP = 8.53). Hasil analisis ujian-t menunjukkan terdapat perbezaan yang sangat signifikan antara kumpulan murid ini dalam aspek karangan keseluruhan pada t(31) = 4.532,  p < .05. Kesimpulannya, kaedah pengajaran penulisan karangan menggunakan teks KOMSAS terbukti lebih berkesan berbanding kaedah pengajaran konvensional terhadap prestasi penulisan karangan murid. Justeru, diharap hasil kajian ini dapat memberi galakan kepada guru-guru Bahasa Melayu supaya  menggunakan teks KOMSAS dengan lebih berkesan untuk membantu murid menjana idea bagi  menghasilkan karangan yang baik.  

Kata kunci: Pengajaran penulisan, prestasi penulisan karangan, teks Komsas, murid sekolah menengah, guru sekolah menengah


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.