Keberkesanan Penggunaan Akhbar dalam Pengajaran Karangan dalam Kalangan Pelajar Tingkatan Enam

Chew Fong Peng, Rusdaini Mohamed

Abstract


Kajian ini dijalankan berdasarkan kaedah eksperimen untuk melihat keberkesanan penggunaan akhbar dalam pengajaran karangan pelajar tingkatan enam di sebuah sekolah menengah yang dipilih. Kajian ini menggunakan 70 orang pelajar tingkatan enam bawah daripada sekolah yang sama sebagai subjek kajian. Subjek kajian telah dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu 35 orang setiap kumpulan. Dalam kajian ini, kumpulan eksperimen telah didedahkan dengan penggunaan akhbar dalam pemelajaran karangan mereka, manakala kumpulan kawalan diajar menulis karangan melalui kaedah biasa. Setiap kumpulan pelajar diberikan dua jenis ujian, iaitu ujian pra dan ujian pasca. Analisis data dibuat menggunakan SPSS Versi 17.0.  Dalam menjalankan kajian ini eksperimental ini, pengkaji telah menjalankan sebanyak lapan kali proses rawatan dengan menggunakan kaedah akhbar dalam darjah (ADD) kepada para pelajar kumpulan eksperimen, manakala para pelajar kumpulan kawalan sebaliknya hanya menerima proses pengajaran biasa sepanjang tempoh tersebut. Proses rawatan ini menggunakan lapan rancangan pelajaran yang telah dirangka khusus oleh pengkaji. Kajian yang telah dijalankan ini telah membuktikan dengan jelas bahawa penggunaan akhbar boleh memberi kesan yang positif kepada para pelajar untuk menulis karangan masing-masing. Terdapat perbezaan yang signifikan dari segi penulisan pendahuluan, huraian isi dan penutup antara kumpulan kawalan dan kumpulan eksperimen. Rumusannya akhbar didapati berkesan dalam membantu meningkatkan kemahiran menulis karangan dalam kalangan pelajar tingkatan enam.

Kata kunci: Akhbar, karangan, bahasa Melayu, sekolah menengah, akhbar dalam darjah (ADD), tingkatan enam


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.