IDENTITI DAN TIPOLOGI MOTIF UKIRAN KAYU BAGI RUMAH LIMAS JOHOR

Hanita Yusof, M.F.I Mohd-Nor

Abstract


Setiap negara, kumpulan etnik atau budaya mempunyai warisan tradisi tersendiri, termasuk Malaysia dengan variasi budaya antara negeri-negeri yang penuh kepelbagaian. Ukiran kayu merupakan salah satu warisan tradisi yang mampu menonjolkan identiti senibina sesebuah negeri. Walau bagaimanapun, amalan pemilihan reka bentuk dan motif yang bukan milik tempatan menimbulkan ancaman kepada identiti asal dan nilai warisan setempat. Jika amalan sedemikian berterusan dan identiti warisan tempatan tidak dikenal pasti dan direkodkan, reka bentuk tradisional dan motif tempatan yang ditinggalkan oleh nenek moyang tempatan akhirnya akan hilang. Ini termasuklah ukiran kayu Johor. Sebelum ini, tiada usaha telah dibuat untuk mengkaji semula, menganalisis dan mengenal pasti identiti ukiran kayu Johor. Justeru itu, objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti motif-motif ukiran kayu yang ada di sekitar negeri Johor dan menghasilkan tipologi yang membentuk identiti rumah limas Johor. Kajian lawatan tapak telah dijalankan terhadap 50 buah rumah limas Johor untuk mendapatkan data terperinci, mengambil gambar dan menganalisis ukiran kayu. Temubual juga dijalankan dengan pemilik rumah atau penghuni serta pengukir kayu. Sampel dianalisis menggunakan kaedah Kod ‘S’ serta perbincangan dengan pakar untuk mendapatkan pengesahan. Dapatan ini menunjukkan dominasi penggunaan motif flora pada rumah-rumah kajian, terdapat 10 tipologi yang dominan telah dikenalpasti di mana motif labu yang diberi nama ‘labu maya’ merupakan motif yang paling banyak digunakan dan layak diangkat sebagai identiti motif ukiran kayu Johor. Kajian ini diharapkan dapat membantu masyarakat mengenali seni ukiran kayu Johor dan memiliki identiti uniknya sendiri yang dapat diteruskan kesinambungannya bagi generasi akan datang serta panduan berharga bagi pengukir Johor.


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.