Kesan Kefahaman Fatwa Zakat Pendapatan Penggajian Terhadap Gelagat Membayar Zakat Pendapatan: Kajian di Politeknik Ungku Omar Ipoh, Perak

Authors

  • Mohamed Hanif Mohamed Nor
  • Hairunnizam Wahid

Keywords:

Fatwa Zakat Pendapatan Penggajian, rebat cukai pendapatan, Politeknik Ungku Omar, Fadilat membayar zakat

Abstract

Malaysia merupakan sebuah negara Islam yang menitikberatkan pembayaran zakat pendapatan penggajian. Fatwa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bertarikh 22 Jun 1997 telah bersetuju bahawa zakat ke atas pendapatan penggajian adalah wajib ke atas orang Islam yang layak mengeluarkan zakat (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia). Namun demikian, pada 16 Februari 2004, Jabatan Mufti Negeri Perak pula telah mengeluarkan fatwa yang tidak mewajibkan pembayaran zakat pendapatan penggajian. Negeri Perak merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak mewajibkan pembayaran zakat pendapatan penggajian. Namun begitu, jumlah kutipan zakat pendapatan di negeri Perak terus meningkat dari tahun ke tahun. Persoalannya mengapakah masyarakat Islam di Perak masih terus membayar zakat pendapatan sedangkan terdapat fatwa yang tidak mewajibkan pembayaran zakat pendapatan. Justeru itu, kajian ini bertujuan mengenal pasti sejauhmana wujud perkaitan antara kefahaman fatwa tersebut dengan gelagat pembayaran zakat pendapatan di negeri Perak. Sampel kajian ini adalah dalam kalangan kakitangan Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak dan seramai 228 orang responden telah ditemubual menggunakan teknik pensampelan secara rawak. Data dianalisis menggunakan model regresi logistik bagi menguji kebarangkalian beberapa pemboleh ubah yang dijangkakan mempengaruhi pembayaran zakat pendapatan seperti kefahaman fat wa zakat penggajian, insentif rebat cukai, kecekapan agihan zakat dan sebagainya. Hasil kajian menunjukkan bahawa majoriti responden telah mendengar dan memahami fatwa zakat penggajian namun mereka tetap meneruskan membayar zakat pendapatan disebabkan oleh pelbagai faktor termasuklah faktor rebat cukai pendapatan dan kepercayaan kepada sistem agihan zakat yang cekap dan efisien serta inginkan fadilat membayar zakat. Malahan, berdasarkan pengalaman Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan dapatan kajian, jumlah kutipan zakat pendapatan terus meningkat setiap tahun di negeri Perak terutama di Politeknik Ungku Omar dan wujud kecenderungan pembayar zakat membayar zakat pendapatan melebihi kadar kewajipan zakat. Beberapa cadangan dan implikasi dasar turut dibincangkan dalam kajian ini. 

Downloads

Published

02/10/2022

How to Cite

Mohamed Nor, M. H., & Wahid, H. (2022). Kesan Kefahaman Fatwa Zakat Pendapatan Penggajian Terhadap Gelagat Membayar Zakat Pendapatan: Kajian di Politeknik Ungku Omar Ipoh, Perak. Jurnal Personalia Pelajar, 22(1). Retrieved from https://spaj.ukm.my/personalia/index.php/personalia/article/view/215

Issue

Section

Full Research Article