SOROTAN KARYA BERSISTEMATIK PENGGUNAAN KONSEP TAWAKAL DALAM KAUNSELING ISLAM UNTUK MENANGANI KEBIMBANGAN (ANXIETY) DAN KEMURUNGAN (DEPRESSION)
Systematic Literature Review on the Use of the Concept of Tawakkal in Islamic Counseling to Address Anxiety and Depression
Abstract
Kesihatan mental merupakan aspek penting dalam kesejahteraan individu, namun peningkatan kes kebimbangan dan kemurungan dalam masyarakat termasuk umat Islam menunjukkan keperluan kepada pendekatan yang lebih holistik dan bersepadu untuk menanganinya. Kajian ini bertujuan menganalisis konsep tawakal dalam konteks kaunseling Islam dan aplikasinya untuk menangani kebimbangan dan kemurungan. Tawakal merupakan konsep utama dalam Islam yang menekankan keseimbangan antara usaha manusia dan kebergantungan kepada Allah SWT. Namun, terdapat salah faham dan penyalahgunaan konsep tawakal yang menyebabkan individu bersikap pasif serta mengabaikan usaha yang perlu dilakukan. Selain itu, ketiadaan alat khusus untuk mengukur tahap tawakal dalam diri seseorang menjadi cabaran untuk memahami peranan tawakal dalam intervensi kaunseling Islam. Dalam masa yang sama, peningkatan kes kebimbangan dan kemurungan dalam kalangan umat Islam mutakhir ini menunjukkan perlunya satu pendekatan holistik yang menggabungkan aspek spiritual dan psikologi bagi menangani isu ini. Kajian ini menggunakan pendekatan Systematic Literature Review (SLR) berpandukan kaedah Preferred Reporting Items for Systematic Reviews and Meta-Analyses (PRISMA) bagi mengenal pasti literatur berkaitan tawakal dan kaunseling Islam dalam menangani kesihatan mental. Objektif kajian adalah untuk menganalisis konsep tawakal dari perspektif Islam dan hubungannya dengan psikologi, mengenal pasti elemen-elemen utama dalam tawakal yang relevan untuk diaplikasikan dalam kaunseling Islam dan menilai keberkesanan konsep tawakal dalam mengurangkan kebimbangan dan kemurungan melalui kaunseling Islam. Data diperoleh melalui pangkalan data akademik SCOPUS serta ditapis menggunakan kriteria inklusi dan eksklusi bagi memastikan kesahihan dapatan kajian. Hasil kajian menunjukkan bahawa tawakal memainkan peranan signifikan dalam mengurangkan kebimbangan dan kemuruangan melalui penilaian semula kognitif, kestabilan emosi dan kesejahteraan spiritual. Selain itu, dapatan kajian juga menunjukkan bahawa terapi kaunseling Islam yang menekankan tawakal lebih berkesan apabila digabungkan dengan teknik psikoterapi moden seperti Islamic Cognitive Behavioral Therapy (iCBT) dan Islamic Mindfulness Therapy. Namun, terdapat beberapa cabaran dalam pengukuran tawakal serta integrasi kaunseling Islam dengan pendekatan psikologi moden.
Copyright (c) 2025 Al-Hikmah

This work is licensed under a Creative Commons Attribution-ShareAlike 4.0 International License.
Authors retain copyright and grant the journal right of first publication with the work simultaneously licensed under a Creative Commons Attribution License (CC BY-SA 4.0) that allows others to share the work with an acknowledgement of the work's authorship and initial publication in this journal.