Penguasaan Kosa Kata dan Pembinaan Keyakinan Pelajar Antarabangsa dalam komunikasi Bahasa Melayu melalui Kaedah Tanya-Jawab Dua Hala
Keywords:
Kajian Tindakan, Kaedah Tanya-Jawab Dua Hala, Pelajar Antarabangsa, Penguasaan Kosa Kata, Keyakinan BerkomunikasiAbstract
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menawarkan kursus wajib Bahasa Melayu sebagai Bahasa Asing kepada pelajar pascasiswazah antarabangsa. Antara masalah utama yang dihadapi oleh para pelajar dalam mempelajari Bahasa Melayu ialah penguasaan kosa kata Bahasa Melayu yang terhad serta kurangnya keyakinan semasa bersoal-jawab dalam Bahasa Melayu. Kajian ini bertujuan untuk melihat keberkesanan kaedah ‘Tanya-Jawab Dua Hala’ sebagai kaedah alternatif dalam membina penguasaan kosa kata pelajar serta keyakinan semasa bersoal-jawab dalam bahasa. Kajian tindakan ini melibatkan 20 orang pelajar pascasiswazah antarabangsa Kursus Bahasa Melayu sebagai Bahasa Asing tahap 1 di UKM, di mana data diperoleh melalui pemerhatian semasa kaedah intervensi dijalankan, perbandingan skor ujian pencapaian kaedah konvensional dengan kaedah intervensi serta perkaitan antara pemboleh ubah dalam borang soal-selidik. Data kajian dianalisis menggunakan ujian Wilcoxon Sign Rank untuk perbandingan skor dan ujian Regressi Linear Mudah untuk analisis perkaitan antara pemboleh ubah. Hasil kajian menunjukkan bahawa peserta kajian membina penguasaan kosa kata serta keyakinan diri secara kendiri melalui latih tubi soal-jawab semasa sesi intervensi. Analisis perbandingan skor antara gelung konvensional dan gelung intervensi untuk kedua-dua kemahiran mencatatkan perbezaan yang signifikan. Analisis Regresi pula menunjukkan perkaitan yang signifikan antara kaedah intervensi dengan kedua-dua kemahiran yang disasarkan. Dapatan ini menunjukkan bahawa penggunaan kaedah ‘Tanya-Jawab Dua Hala’ ini berpotensi untuk membantu pelajar bahasa kedua dan ketiga meningkatkan tahap penguasaan kosa kata serta keyakinan dalam berbahasa Melayu.Â